B-23 Malaysia naik pangkat ke skuad utama

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Yakin dengan kemampuan skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan bahawa pasukan itu kini menggalas tugas sebagai skuad utama negara.

Langkah itu sekali gus mengetepikan skuad senior kebangsaan yang sebelum ini menemui jalan buntu untuk mengharumkan nama negara dengan keputusan terakhir yang dicatatkan pasukan itu adalah kekalahan 5-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Januari lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata, badan induk itu memberi kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih pasukan, K. Rajagobal untuk menentukan pemain mana yang dimahukannya untuk berada di dalam pasukan negara.

“Pemain-pemain ini akan dikekalkan sebagai satu pasukan. Saya melihat pasukan ini cukup mantap tambahan pula usia mereka masih muda dan ia memberi ruang kepada kita ‘menggilap’ mereka menjadi lebih baik untuk tempoh lebih lama.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Rajagobal selaku jurulatih pasukan untuk membawa masuk mana-mana pemain yang dirasakan perlu. Saya fikir, beliau lebih arif dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Laos di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang awal pagi semalam.

Mengulas mengenai imbuhan yang bakal diterima pasukan itu, Azzuddin memberitahu, perkara itu akan diumumkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, baginda berada di luar negara. Sebaik Tuanku pulang, FAM akan meminta perkenan baginda untuk mengumumkan perkara itu bagi menghargai jasa pemain kita,” ujarnya.

Sementara itu, Rajagobal ketika ditemui masih enggan mendabik dada dengan kejayaan anak buahnya dan menyifatkan pasukan itu masih di dalam proses pembelajaran.

“Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan kami. Namun, saya tidak mahu pemain leka dan berharap agar mereka fokus serta mengambil serius setiap perlawanan yang dilalui selepas ini.

“Saya mahu pemain-pemain muda ini dikekalkan. Tidak dinafikan, kita kini masih berada di tahap pembelajaran jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan negara lain yang jauh lebih senior.

“Namun saya percaya, jika mereka dikekalkan bersama, dalam masa tiga tahun, Malaysia akan memiliki pasukan yang benar-benar mantap dan bagus untuk dipertaruhkan,” ujarnya.

Bagi mengharungi tempoh itu, Rajagobal meminta agar rakyat Malaysia bersabar untuk menagih kejayaan yang lebih besar dari skuad bimbingannya.

“Para pemain ini masih muda, justeru kita mempunyai ruang untuk mengasuh mereka. Cumanya, rakyat perlu bersabar dan tidak rakus dalam meletak harapan terlalu tinggi kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu beliau akan selepas ini akan menyiapkan pasukan itu untuk menentang UAE bulan depan bagi melengkapkan jadual saingan kelayakan Piala Asia.

Tambahnya, satu perlawanan persahabatan akan dilangsungkan sebelum para pemain negara dibawa terbang ke UAE bagi berhadapan pasukan kebangsaan negara berkenaan.

“Buat masa ini biarlah mereka berehat setelah berhempas pulas di Laos. Mereka akan kembali menjalani latihan bermula 24 Disember depan dan selepas itu, kita akan fikir apa yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s